BIRO ADUAN KOMUNITI JUGA PERLU BANTUAN KERAJAAN UNTUK BANTU RAKYAT

KHAIRY JAMALUDIN ‘Tentunya melalui Pusat Aduan ini juga, akan bertindak sepuluh kali ganda daripada kecekapan pegawai kerajaan menuntut jawapan segera yang mana kalau pegawai tidak boleh selesai, ketua pengarah akan dicari walaupun di padang golf untuk mendapat jawapan. Kalau tidak jumpa di padang golf, menteri akan dicari untuk memberikan jawapan. Begitulah gambaran yang rakyat harapkan’

Oleh ABANG MAHMOR

UNTUK mencambahkan ekonomi lantas meningkatkan pertumbuhannya sepantas mungkin bukan semata-mata dengan melambakkan projek mega yang menelan belanja berbilion, beratus juta atau berpuluh juta ringgit. Tetapi mengalakan, menyemai, membaja dan membela peniaga kecil dan sederhana adalah juga antara satu cara yang cukup berkesan dan terimbang.

Mungkin itulah maksud Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika meminta kerajaan menambah pelaburannya dalam Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) bagi merangsang ekonomi di akar umbi serta mempermudahkan lagi proses pemberian pinjaman kepada setiap pemohon yang benar-benar mahu menjalankan perniagaan atau memperbesarkan perniagaan sedia ada.

Adalah mengecewakan apabila beliau mendedahkan pegawai-pegawai Tekun memberi jawapan kepada pemohon bahawa Tekun tidak mempunyai dana secukupnya atau peruntukan telah tiada. Kalau Tekun mahu menunggu wang pembayaran dari peminjam awal, tentunya Tekun tidak lagi berfungsi membantu pertumbuhan peniaga baru kerana Tekun akan menjadi badan menunggu bayaran hutang buat beberapa lama sahaja.

Khairy meminta kerajaan menimbangkan secara serius kerana katanya, sebelum ini, dana untuk Tekun daripada RM250 juta telah diturunkan secara mendadak kepada RM50 juta. Untuk mendapatkan bayaran balik pula, dilihat perancangan procedurnya kemungkinan besar mempunyai kelemahan yang menjadi penyebab peminjam sukar membayar balik.

Dalam pada itu, kerajaan telah menyuntik dana sebanyak RM550 juta kepada Mara untuk program-program pembangunan orang Melayu dan bumiputera. Peranan antara Mara dengan Tekun mungkin tidak serupa tetapi biarlah rakyat memilih agensi mana yang lebih sesuai dengan apa yang dimohon asalkan pinjaman mereka tidak bertindih yang akan menyukarkan lagi mendapatkan bayaran semula.

Semua ini mudah dizaman serba canggih untuk mengetahui status pemohon peminjam Tekun dengan segera. Yang pentingnya sekarang ialah semuanya dilakukan dengan cepat. Itulah yang rakyat mahu. Kalau tidak layak langsung, berikan sebab cepat.

Namun begitu, beliau mencadangkan juga supaya karenah birokrasi memproses pinjaman mestilah juga diringkaskan bagi mengelak peminjam menunggu terlalu lama untuk memulakan atau meneruskan rancangan niaga mereka atau mengalih kepada pinjaman lebih cekap dan pantas seperti ah long sementara menunggu pinjaman.

Antara lain menurut Khairy, ketika ini adalah waktu kritikal untuk memulihkan ekonomi. Sebab mahu tunggu pembayaran semula pinjaman untuk diberi kepada peminjam lain sebagai pusingan, masalah ini tidak akan selesai dan ekonomi di peringkat akar umbi akan menajdi kaku.

Sebelum ini, Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno hanya beroperasi di ibu pejabat Pemuda Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sahaja, tetapi kali ini, ia dibawa ke luar supaya lebih senang untuk sesiapa sahaja datang meminta bantuan dan menyatakan aduan.

Pusat itu akan menjadi ‘premis harapan’ kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik dan ia dilihat sejajar dengan konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan bagi merintis jalan berdepan dengan rakyat secara langsung yang mana daripada pusat inilah nanti rakyat juga boleh membuat ukuran terhadap kecekapan agensi-agensi kerajaan menjalankan tugas.

Daripada pusat ini juga, kalau kerajaan tidak memberikan perhatian serius mengutip cadangan yang disarankan bagi tujuan menyelesaikan masalah orang ramai, pusat ini juga nanti akan dilihat tidak memberikan makna kepada slogan perdana menteri yang Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagai usaha memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Daripada Pemuda UMNO, melalui Biro Aduan Komunitinya mengwujudkan pusat seperti ini adalah satu-satunya usaha yang akan membekalkan maklumat serampang dua mata di mana kerajaan akan dimaklumkan secara langsung tentang masalah rakyat dan ia sangat-sangat bergantung kepada pegawai dan kakitangan menunjukkan prestasi mereka menyelesaikannya sebaik mungkin.

Khairy tentunya serius dalam perkara ini dan juga harus bersedia menerima bedilan dari kementerian mahupun jabatan kerajaan yang selama ini tidak dapat berfungsi dengan baik walaupun dalam urusan semudah menjawab telefon dan menghubungkan rakyat dengan pegawai dan menjawab surat yang mengunjungi jabatan dengan secepat mungkin.

Ia memerlukan rakyat menapak memanjat bangunan mencari pegawai bertanggungjawab dari tingkat ke tingkat seperti passing bola apabila berurusan dengan kerajaan. Malah tempat letak kenderaan pun tidak pernah ada unsur mesra rakyat di mana-mana jabatan kerajaan. Ini menjadikan masalah besar selama ini yang sangat-sangat diharapkan Pusat Aduan Komuniti dapat berfungsi menembusi kelemahan yang selama ini memberi tekanan kepada rakyat yang berurusan dengan jabatan kerajaan.

Tentunya melalui Pusat Aduan ini juga, akan bertindak sepuluh kali ganda daripada kecekapan pegawai kerajaan menuntut jawapan segera yang mana kalau pegawai tidak boleh selesai, ketua pengarah akan dicari walaupun di padang golf untuk mendapat jawapan. Kalau tidak jumpa di padang golf, menteri akan dicari untuk memberikan jawapan. Begitulah gambaran yang rakyat harapkan.

Begitu juga Khairy atau mana-mana pegawai dari pusat aduan komuniti yang menemui masalah pula untuk mendapatkan penyelesaian dari mana-mana jabatan atau kementerian, hendaknya tidak berasa malu alah atau kekok mendedahkan kelemahan yang ditemui. Tanpa tindakan sedemikian, sampai bila pun pegawai dan kaki tangan kerajaan tidak akan berubah dari sikap ambil mudah yang sudah menjadi tabiat buruk di mana-mana.

One Response

  1. Menurut beberapa sumber, TEKUN ini begitu mudah lulus semasa Noh Omar menjadi Menteri Tekun. Sehinggakan pwgawai di pejabat Tekun daerah boleh memberikan tandatangan kelulusan. Benarkah begitu? Siapa pula yang dapat pinjaman ini? Pastinya majoriti dari kalangan UMNO. Maka jika sukar untuk mengutip semula pinjaman, tanyalah sendiri mengapa?

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.