Oleh Fuad Rahim

DI kalangan pemimpin Umno, yang jelas mahu menonjol diri dalam krisis sekarang ialah Naib Presiden, Muhyiddin Mohd Yassin diikuti Datuk Mukhriz Dr. Mahathir, Dr. Mohamad Khir Toyo dan Dr. Mohd Fuad Zarkashi.

Itulah sebabnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohd Nazri Tan Sri Aziz membidas dengan kata-kata ‘ada menteri yang tidak cerdik’ ketika menghadapi isu politik sekarang.

Muhyiddin cukup terasa dengan ‘penangan’ Nazri itu.
Muhyiddin sudah berkali-kali mengulangi isu kepimpinan atau dalam bahasa yang lebih mudah, isu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), perlu ‘turun’ dan tempatnya digantikan dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kenapa ketika bercakap soal ‘kepimpinan’ Muhyiddin tidak menjadikan dirinya sebagai contoh? Berhenti atau berundur dari kerusi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang disandangnya atas belas ihsan Pak Lah. Kalau dia mahu terus kekal memegang jawatan Naib Presiden, tidak jadi masalah.

Muhyiddin sepatutnya boleh bercakaplah dengan berterus-terang, “Pak Lah, saya tidak dapat menerima kepimpinan Pak Lah dan dengan ini saya mengundurkan diri jawatan kabinet.” Saluran paling tepat, dalam Jawatankuasa Pengurusan Umno dan kemudiannya dibawa ke Majlis Tertinggi (MT).

Undurlah dari jawatan Kabinet. Jika mahu menggunakan saki-baki perkhidmatan yang ada sebagai Naib Presiden Umno untuk mengadakan pertemuan dengan ahli parti di peringkat grassroot, bagi membuat penerangan, ia tidak jadi masalah.”

Kenapa Muhyiddin tidak ada rasa malu ketika dia bercakap soal kepimpinan, dia masih berketuakan (dengan bahasa mudah, kepimpinan) Pak Lah. Macam mana dia bercakap soal ‘kepimpinan’ tapi dia masih mahu berketuakan pemimpin yang dia ajak seluruh orang ‘curiga’terhadap kepimpnan itu.

Ada orang percaya, Muhyiddin menjadi jurucakap seseorang yang amat teringin menjadi Perdana Menteri (PM) dan dalam masa yang sama, Muhyiddin pula teringin menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM). Jika tidak, mereka yang menceritakan hal ini mendakwa, mustahil Muhyiddin begitu berani mempersoalkan kepimpinan parti dan kerajaan hari ini kerana, kalau ahli Umno diberikan hak bersuara, sudah tentu mereka juga akan mempersoalkan ‘siapa Muhyiddin’ ini.

Ingat, dalam pemilihan Umno 2004, apabila Muhyiddin hanya mendapat 1,234 undi dia dengan angkuh mengatakan ‘saya bukan menang tetapi terselamat’. Ini kerana dia tidak dapat menerima kemenangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai Naib Presiden 1, Naib Presiden 11 dan dia sebagai Naib Presiden 111.
Muhyiddin seolah-olah tidak bersyukur dia masih menang walaupun jelas perwakilan memang kurang berminat dengan kecuali dengan ‘kempen dan pertolongan’ Pak Lah, menyebabkan dia menang.

Berani Muhyiddin bersumpah, dengan menjunjung al-Quran, dia menang tanpa menggunakan sesen pun wang untuk berkempen?
Padahal, dengan wajahnya yang dilihat sebagai sombong dan selamba tidak kenal orang Umno (perwakilan) dan tidak kenal siapa nama Ketua Bahagian, menang sebagai Naib Presiden (walaupun di tempat ketiga), dia sepatutnya tahu bersyukur.

Nasib baik, dalam Umno (di ibu pejabat) ada kawan-kawan Muhyiddin yang sanggup menjadi ‘perkakas’ untuk menjatuhkan Mohd Isa. Bila Mohd Isa terhukum, mungkin ada orang yang seronok tetapi kesannya, Pilihan Raya Umum ke 13, BN (Umno) hampir-hampir lenyap.

Mustahil kerana menghukum Mohd Isa, kesannya begitu teruk tetapi biasanya ‘doa orang yang teraniaya, tiada hijab antaranya dengan Allah’.

Mohd Isa hilang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan. Hilang jawatan Naib Presiden dan hilang jawatan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang. Apa jadi dengan Parlimen Teluk Kemang, dari BN tumpas kepada PKR. Apa jadi dengan Wilayah Persekutuan, hampir kalah semua, kecuali Parlimen Setiawangsa yang mempunyai puluhan ribu undi pos.

Nasib baiklah Wilayah Persekutuan ada Labuan dan Putrajaya. Kalau tidak, BN menang hanya satu dari 10 kawasan Parlimen.
Kalau kira negeri-negeri lain, Datuk Seri Zulhasnan Rafique tidak ‘berhak’ jadi Menteri Wilayah Persekutuan berdasarkan keputusan tersebut.

Muhyiddin jangan ‘baling batu sembunyi tangan’. Muhyiddin jangan ingat dia menang di Pagoh dan dia tidak terlibat dengan kekalahan besar-besaran BN di seluruh negara. Sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, bolehkah Muhyiddin semak kawasan-kawasan yang terlibat secara langsung dengan kementeriannya dahulu, lebih banyak menang atau lebih banyak kalah?

Hari ini, ada empat orang yang bergelar Tan Sri menjadi Pengerusi agensi kerajaan. Antaranya Tan Sri Abu Zahar Ujang (kawan baik Tan Sri Muhyiddin) dilantik menjadi Pengerusi LPP, Tan Sri Leo Moggie dilantik menjadi Pengerusi TNB, Tan Sri Dr. Mohd Yusoff Nor, Pengerusi Felda dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Pengerusi RISDA tetapi kini sudah menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Lebih wajar, jika Pak Lah melantik Muhyiddin menjadi Pengerusi LKIM untuk ‘membuktikan dia layak’ mempersoalkan soal kepimpinan.
Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia, Muhyiddin secara ‘garang’ mahukan ‘peralihan kuasa’ perlu disegerakan.
Kemudiannya, ketika menghadiri satu majlis di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur, anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) yang turut dihadiri bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Malik Munip, Prof Zainal Keling dan Datuk Dr. Hassan Ahmad, Muhyiddin masih mengulangi bahawa ‘kepimpinan’ perlu bertukar atau dengan bahasa lebih mudah difahami, Pak Lah perlu berundur.

Tidak malukah Muhyiddin, sebagai seorang anggota kabinet Pak Lah, ketika dia mempersoalkan kreadibiliti Pak Lah, ketika dia membuat desakan supaya Pak Lah berundur, dia masih duduk berketuakan Pak Lah?

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Alwi Che Ahmad dalam beberapa siri SMS kepada kawan-kawan dan kenalannya, jelas mempertikaikan kejujuran Muhyiddin sebagai seorang anggota kabinet.

Alwi adalah penyokong setia Muhyiddin sejak sekian lama. Walaupun dia tidak pernah dianggap penting oleh Muhyiddin tetapi kerja kerasnya selama ini membantu Muhyiddin sudah tidak akan berlaku lagi. Dia seolah sudah kecewa dengan tingkah laku Muhyiddin yang selama ini cukup dihormati, tetapi ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ‘meletakkan seekor musang dalam reban ayam’ .

Tersilap besarlah kalau perwakilan Umno ‘menyanjung’ Muhyiddin hanya kerana ‘keberaniannya’ membuat pelbagai desakan terhadap Pak Lah. Hubungan Muhyiddin dengan Datuk Seri Najib juga boleh dipertikaikan.

Mustahil Najib boleh mempercayai Muhyiddin yang pernah ‘mengutip’ undi tertinggi dalam pemilihan Naib Presiden 1993, mengatasi undi Najib, duduk di bawahnya sebagai TPM jika Najib jadi PM.

Najib juga tentunya sedar, Muhyiddin sebenarnya ingin sangat menjadi TPM di bawah Pak Lah tetapi Pak Lah menamakan Najib sebagai TPM yang menyebabkan Muhyiddin ‘berlinangan airmata’ apabila dia bukan sahaja tidak dinamakan sebagai TPM, malahan, tidak dimaklumkan lebih awal yang Pak Lah mahukan Najib menjadi orang nombor dua .
Undurlah Muhyiddin dan kemudian desaklah orang lain undur sama, barulah ‘cakap serupa bikin’.

One Response to “Muhyiddin perlu berundur”

  1. princenine Says:

    as for me….

    they all should resign…..

    semua patut bersara dan dapat gelaran ..Mantat menteri itu..dan Mantat menteri ini…..beri lah peluang…
    agar orang baru …nafas baru..yang belum korup dan rakus menjadi pentadbir negara yg dicintai ini….

    resign…the sooner the better…

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.