Kenapa Desak Tok Det Berhenti?

Foto Ihsan HarakahDaily

Oleh Fuad Rahim
BERITA dari Sungai Petani, Kedah mengatakan perjumpaan Jawatankuasa Pengurusan Umno yang diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (Naib Presiden), Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Setiausaha Agung) dan Datuk Seri Rafidah Aziz (Ketua Pergerakan Wanita), dengan pemimpin Umno bahagian-bahagian, merumuskan supaya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Tok Det) perlu meletakkan jawatan.
Rumusan itu dibuat, kononnya kerana kekalahan BN di Kedah, hingga gagal mempertahankan kerajaan negeri, disebabkan rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) di peringkat persekutuan, orang marahkan menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin dan menolak kepimpinan Tok Det.
Antara yang bangkit bercakap di SP Cinta Sayang Golf ini ialah bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin (Bahagian Kuala Kedah), Mohd Akhir Shafie (Sungai Petani), Jamil Long (bekas budak Parti Melayu Semangat 46 dari Bahagian Pokok Sena), Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan wakil puteri Umno dari Kuala Kedah.
Ada juga yang bercakap kononnya pemilihan calon tidak menepati Perlembagaan parti, iaitu tidak merujuk kepada bahagian, sebelum nama-nama tersebut diumumkan.
Bila kalah, orang-orang Umno di Kedah mulalah menuding jari, salahkan pemimpin-pemimpin. Mereka ini sebenarnya memang pandai bercakap… orang Kedah macam Tun Dr. Mahathir Mohamad juga, pandai bercakap tetapi cuba lihat prestasi kerja mereka – cukup memalukan!
Datuk Paduka Rozai Shafian tewas di Pendang, adakah kerana ‘dia dicalonkan tanpa merujuk di bahagian?’
Datuk Paduka Badaruddin Amiruldin tewas di Yan, adakah kerana dia dicalonkan tanpa merujuk kepada bahagian? Datuk Tajul Urus tewas di Parlimen Merbok kerana dia dicalonkan tanpa merujuk kepada bahagian? Orang Umno dari seluruh Malaysia tahu, macam mana Umno cawangan di Kedah, bila mereka datang membantu dalam pilihan raya kecil Dun Lunas, beberapa tahun lalu.
Tapi, kalau sampai musim Perhimpunan Agung Umno, berilah peluang orang Umno dari Kedah bercakap, oh… cukup pandai mereka menyusun kata-kata, memukau dan menghiburkan tetapi, bila suruh buat kerja, mereka duduk di gerai pulut udang, bercakap dan bercerita hal dunia.
Keputusan Pilihan Raya Umum 12 lalu adalah satu keputusan yang tidak diduga, menyebabkan mereka yang pandai bercakap ini, mulalah mencari salah orang lain dan yang paling mudah, menyalahkan Pak Lah, Khairy dan Tok Det.
Kata pepatah, ‘kalau kita nak merubah dunia mulakan dengan merubah diri sendiri dulu’. Kalau nak cadangkan Pak Lah berhenti dan Tok Det berhenti, kenapa mereka ini (termasuk ketua-ketua bahagian yang kawasan mereka juga kalah) berhenti dulu? Berhentilah, mudah-mudahan cadangan mereka yang mahu pucuk pimpinan berhenti akan tertunai, jika mereka dapat memberikan contoh.
Janganlah bercakap ikut perasaan. Dan jangan perasan bila pandai bercakap boleh jadi ahli politik. Mahu menjadi ahli politik, macam-macam diperlukan selain dari pandai bercakap. Ahli politik juga perlulah pandai bekerja memperkuatkan parti.
Ada pula yang mencadangkan supaya pimpinan Umno hari ini supaya tidak mengkritik Dr. Mahathir yang menyerang kepimpinan parti dan kerajaan hari ini. Cadangan ini kononnya supaya ‘hati Dr. Mahathir’ boleh dijaga. Tapi, kenapa mereka yang mencadangkan ini tidak pernah terfikir mengapa mereka tidak pernah mahu ‘hati Pak Lah dijaga’ sama?
Pelik betul orang Umno di Kedah. Mereka takut Dr. Mahathir kecil hati tetapi mereka tidak pernah mahu berfikir Tok Det dan Pak Lah juga boleh berkecil hati dengan cakap-cakap mereka yang tidak mahu untuk mengaku kesalahan diri sendiri.
“Dah kalah pun masih tidak mahu berubah. Tak ada kesedaran langsung,” kata seorang rakan dari Alor Star.
Datuk Seri Najib pemimpin yang cerdik. Tan Sri Muhyiddin orang yang pandai. Mereka tentunya tahu, wakil-wakil bahagian yang bercakap itu, mereka sendiri, selama mereka memegang jawatan di peringkat bahagian, mereka juga tidak pernah ‘mengikut Perlembagaan’dalam tindak tanduk mereka.
‘Kerat, kerat,kerat’ (istilah popular untuk kalahkan calon) adalah dialog biasa di Kedah. Mereka sabotaj sesama sendiri.
Ada seorang kenalan di Kedah memberitahu, pucuk pimpinan tidak harus takut untuk mengambil tindakan disiplin kepada mereka yang terbukti melakukan pengkhianatan kepada parti.
Umno hari ini tidak memerlukan ‘kuantiti’. Umno perlu sedar, ‘kualiti’ ahli adalah lebih penting. Tidak perlu ahli yang pandai bercakap bertujuan mencari alasan bagi menyalahkan pemimpin, sedangkan yang salah adalah mereka yang ‘cah keting’ kerana tidak terpilih menjadi calon.
Mungkin Datuk Seri Najib sudah masak dengan ‘silat kuntau’ orang-orang Umno Kedah. Mereka kuat ‘sembang’ tapi tak buat kerja. Mereka pandai bercakap, tetapi kerja tak bergerak. Jadi, tidak usahlah layan semua ini sebaliknya berusaha memujuk semula orang-orang Umno yang merajuk, marah dan menolak BN dalam pilihan raya yang lalu.
Tok Det yang sudah memulakan suatu usaha baik di Kedah sejak mengambil alih kepimpinan negeri dari Datuk Seri Syed Razak Syed Zin jangan mudah merajuk. Politik ini ‘marathon’. Masa masih panjang dan usaha perlulah dibuat mulai sekarang.
Jika kita ambil contoh kekalahan calon BN di Parlimen Kuala Kedah, ini bukan kali pertama calon BN di sini kalah. Dalam pilihan raya umum tahun 1999, calon BN, Dr. Fauzi Hamid juga kalah. Apakah ketika itu kekalahan ini kerana Pak Lah? Kerana Tok Det? Kerana Khairy?
Begitu juga kekalahan calon BN di Parlimen Padang Terap dalam tahun 1999. Apakah Pak Lah salah? Tok Det salah? Khairy salah?
Bila menang, mereka akan mendabik dada kononnya mereka kuat tetapi bila kalah, Tok Det salah, Pak Lah silap dan Khairy punya pasal!
Orang Umno Kedah kena belajar politik dari Umno Perlis. Ketika berkrisis sekalipun, mereka tidak sanggup sabotaj calon-calon parti.
Ketika mereka mecadangkan supaya Tun Dr. Mahathir jangan dikritik, mereka jugalah yang mengalahkan Tun Dr. Mahathir dari menjadi ‘perwakilan tujuh’ Bahagian Kubang Pasu.
Dalam masa mereka tidak sanggup mengkritik Datuk Mukhriz Mahathir yang menulis surat mendesak Pak Lah berundur, mereka jugalah yang mengalakan Mukhriz dari menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu.
Bolehkah kita ‘buat kira’ dengan orang-orang seperti ini. Tidak mustahil ada pelukis kartun akan melakarkan kisah-kisah lucu ini untuk menjadi bahan kajian jenaka abad akan datang.
Kepada Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang turut bercakap dalam perjumpaan itu, hentikan berpura-pura kerana sudah tidak menjadi Menteri. ‘Empayar Sheikh Fadzir’ dalam politik Umno mungkin sudah hampir ke penghujung. Tidak ada siapa yang mampu melakukan seperti apa yang dilakukan keluarga Sheikh Fadzir ini. Janganlah salahkan orang lain bila kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu terlepas ke tangan pembangkang, bukan salah Pak Lah. Bukan salah Khairy dan bukan salah Tok Det. Dulu, ketika Kadir tewas dalam usahanya mempertahankan kerusi MT, adakah ini juga salah Pak Lah?
Bila Kadir tewas MT, adakah desakan meminta dia melepaskan jawatan menteri? Alahai… orang Umno Kedah!

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: