UTK Sirul & Azilah Jerit dan Ugut RPK


(KLPOS.COM) – Pengendali lamanweb Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin telah dibebaskan dengan ikatjamin pada jam 9.30 pagi tadi di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Beliau mendakwa, telah terserempak dengan dua tertuduh dalam kes perbicaraan pembunuhan Altantuya Shaaribuu – Sirul Azhar Umar and Azilah Hadri – semasa di penjara Sungai Buloh ketika (Raja Petra) ditahan di situ sejak Selasa lalu, kerana tidak membayar ikatjamin.

Kedua-dua mereka menjerit dan mengugutnya dan pihak berkuasa penjara bimbang tentang keselamatannya, kata Raja Petra selepas dibebaskan pagi ini.

Beliau berkata, oleh kerana mereka tidak dapat menjamin keselamatannya, maka beliau bersetuju dengan permintaan pihak berkuasa supaya diikatjamin.

Raja Petra juga berkata beliau tidak mogok lapar seperti yang dilaporkan sebelum ini tetapi enggan mengambil makanan yang disajikan oleh pihak penjara.

“Makanan itu dibayar oleh rakyat. Saya tidak fikir duit rakyat dibelanjakan dengan sewajarnya,” kata beliau.

Sebelum itu, Raja Petra tiba di mahkamah dari penjara Sungai Buloh pada kira-kira jam 9.25 pagi.

Beliau memakai seluar jean dan baju kuning yang sama dipakainya sewaktu dihadapkan ke mahkamah Selasa lalu.

Kira-kira 50 penyokongnya yang menunggunya di perkarangan mahkamah, bertepuk tangan sebaik sahaja Raja Petra tiba di situ. Raja Petra kelihatan melambai ke arah mereka.

Mereka memakai baju-T berwarna kuning dengan wajah Raja Petra serta dengan tulisan ‘Justice for ALL…Tantuya’

Raja Petra, dihadapkan ke mahkamah Selasa lalu atas tuduhan menghasut. Beliau enggan membayar ikatjam RM5,000 kerana katanya tidak mampu berbuat demikian.

Kesnya telah ditetapkan untuk didengar pada 6 hingga 10 Oktober depan.


WARKAH TUAN GURU NIK AZIZ UNTUK RAJA PETRA

8hb Mei 2008/ 2 Jamadil Awwal 1429

YM. Raja Petra Raja Kamarudin

Warkah Simpati dan Pengiktirafan

    Saya menerima berita mengenai nasib tuan yang dituduh dibawah Akta Hasutan 1948 dan kini ditahan reman dalam penjara Sg. Buloh sehingga kes disebut di mahkamah pada 6 Oktober 2008 dengan penuh kesedihan.

    Bagaimanapun, jauh di hati saya, saya masih terasa kagum kerana di sana masih ada seorang sehebat tuan yang cekal mempertahankan apa yang difikirkan benar.

    Prinsip ini cukup selaras dengan dasar anutan Agama Islam kita yang sentiasa bertunjangkan amar makruf nahi mungkar.

    Ia kebetulan disebut juga oleh demokrasi dan turut diperuntukkan di dalam perlembagaan kita di bawah perkara kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

    Soal bersalah atau sebaliknya; maka terlanjur tuan telah dituduh di bawah Akta Hasutan, maka ia terpulanglah kepada proses keadilan di mahkamah yang selanjutnya.

    Sewaktu Nabi Allah Yusuf ‘alaihissalam dikurung oleh pihak berkuasa di zamannya kerana fitnah, Yusuf berkata, “wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh.”

    Lantaran istiqomah Nabi Yusuf itu, Allah maqbulkan doa baginda lalu “menghindar Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Petikan dari Surah Yusuf Ayat 33 dan 34).

    Selaras dengan perkembangan ini, izinkan saya turut bersama mendoakan tuan agar sentiasa dipelihara kesihatan dan keselamatan oleh Allah SWT.

    Semoga yang benar itu akan terserlah jua walaupun harganya adalah pengorbanan. Selagi tuan benar dan kita semua benar di sisi Allah SWT, tuan dan kita pada amnya tidak perlu merasa khuatir.

    Mari kita terus tabah, bersama dengan perjuangan demi menegakkan yang hak dan menolak kebatilan.

    Salam perjuangan. Wassalam.

    NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
    Menteri Besar Kelantan
    Merangkap Mursyidul Am PAS

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: