Wawancara Khas 100 Hari Pentadbiran Baharu Selangor

Pentadbiran Adil, Telus, Berkebajikan


Ikrar MB Selangor

YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim, dengan rasminya menjawat Dato’ Menteri Besar Selangor sejurus menerima watikah pelantikan daripada DYMM Sultan Selangor pada 13 Mac 2008. Sempena sambutan genap 100 hari menerajui Kerajaan Negeri Selangor pada 20 Jun 2008, YAB Tan Sri Abdul Khalid, yang berpengalaman luas dalam pentadbiran dunia korporat, ketika ditemui Dr. Sulaiman Masri, merungkaikan beberapa isu yang menjadi perhatian kalangan rakyat terhadap pelan tindakan pentabiran beliau seterusnya di negeri Selangor.

1. Visi Baharu dalam Urus Tadbir Kerajaan Negeri Selangor

Visi asal negeri Selangor, berbunyi, “Selangor negeri idaman, maju dan sejahtera.”
Misi asal berbunyi, ”menguruskan kesinambungan kejayaan negeri maju melalui perkhidmatan yang mesra, mudah, cepat dan tangkas selaras dengan tuntutan pelanggan.”
Dengan menggunakan visi dan misi yang sedia ada, kerajaan Pakatan Rakyat berusaha lebih menerjah ke akar ubi, iaitu berusaha memanfaatkan rakyat seluruhnya. Maka,dalam hal ini, visi baharu kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, berbunyi; “memimpin” dan “merakyatkan ekonomi”.
Istilah “memimpin” di sini bermaksud, barisan kepemimpinan Pakatan Rakyat di Selangor memang terus menerajui pentadbiran negeri ini dalam semua aspek pentadbiran, baik di peringkat kampung, mukim, dan daerah, mahupun di peringkat pusat pentadbiran kerajaan negeri yang terletak di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam.
Bagi kami, setelah rakyat memilih kami, rakyat mempunyai hak terhadap sumber pendapatan negeri. Ini merupakan asas konseptual, yang berbeza daripada pegangan Barisan Nasional. Bagi BN, setelah memenangi pilihan raya, maka kerajaan pun menguasai negeri atau negara.
Nah, anda lihat perbezaan antara Pakatan Rakyat daripada BN! Kerajaan Pusat (BN) yang menguasai kerajaan negeri dan rakyat! Sedangkan konsep Pakatan Rakyat, rakyat kini ada kuasa terhadap kerajaan negeri.
Contoh, kerajaan Pakatan Rakyat tidak lagi melantik wakil-wakil rakyat atau ahli-ahli yang berhormatnya dalam kerajaan berkuasa tempatan (PBT) sebagaimana kerajaan negeri yang lepas. Hal ini dilakukan bagi mengelak berlakunya perbuatan penyalahgunaan kuasa atau campur tangan dalam keputusan yang bersifat kepentingan diri dan kroni.
Istilah “merakyatkan ekonomi” pula bermaksud kerajaan Pakatan Rakyat berusaha meneroka dan memajukan sumber ekonomi di bumi Selangor, yang kemudian membahagi keuntungan kepada rakyat, agar dalam hal ekonomi ini, rakyat dapat sama-sama merasa hasilnya.
Misalnya, dalam pembangunan yang melibatkan tanah rakyat. Penjawat awam atau pemimpin politik hanya bertindak selaku pengurus, manakala rakyat selaku tauke atau pemilik. Tauke inilah yang menentukan hasil pembangunan bakal diterima sewajarnya
Pemimpin politik dan penjawat awam tidak berhak dengan sewenang-wenangnya memperoleh ‘bahagian’ keuntungan secara tidak sah. Ini ‘budaya’ yang berlaku selama ini. Malah rakyat terpaksa membayar cukai pintu tahunan sekiranya tanah mereka dibangunkan bagi projek perumahan.

2. Penerapan Gaya Pengurusan Korporat
Sebenarnya, di Selangor sudah ada sejumlah agensi kerajaan yang bertaraf syarikat atau perbadanan. Antaranya, Permodalan Selangor, Pelancongan Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, dan Syarikat Air Selangor (Syabas).
Pengurusan korporat memang agak berbeza daripada pengurusan agensi awam. Antara aspek pembeza, syarikat mengutamakan keuntungan. Dalam hal ini, penerapan gaya pengurusan yang sedia ada diteruskan, tetapi saya merangsang agar syarikat-syarikat milik kerajaan negeri memberi penekanan yang lebih pada kejujuran, ketelusan dan mengutamakan tanggungjawab sosial.

3. Pendekatan ‘Kebertanggungjawapan’ dan ‘Ketelusan’
Dasar kebertanggungjawapan dan ketelusan dalam kepemimpinan Pakatan Rakyat diterap menerusi beberapa cara. Antaranya, ahli-ahli yang berhormat dalam PKR, DAP, PAS tidak dibenarkan menjadi ahli majlis dalam pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mereka dilarang terlibat dalam aktiviti yang disyaki mengutamakan diri, kawan atau saudara mara. Malahan semua projek mesti diperoleh secara tender terbuka, menerusi temu duga, dan berdasarkan kelayakan. Malahan, ahli-ahli yang berhormat Pakatan Rakyat dipantau agar tidak menerima komisen daripada mana-mana projek yang dikendalikan syarikat atau individu terpilih.
Semua kakitangan awam dan syarikat milik kerajaan negeri, tidak kira pangkat, mesti melaksanakan tugas dengan jujur, cekap dan mesra pelanggan atau rakyat. Saya nampak Piagam Pejabat Menteri Besar yang lepas sesuai dipatuhi oleh semua kakitangan negeri Selangor.
Lantaran itu, saya mahu semua pihak menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab, telus, jujur dan mesra.
Misalnya, borang permohonan, surat sokongan, aduan atau baucer pembayaran yang diterima atau untuk pelanggan, mesti segera dilayan dan dijawab menurut tempoh yang ditetapkan dalam Piagam tersebut.

4. Usaha Berjimat Cermat dalam Perbelanjaan Kerajaan Negeri
Usaha berjimat cermat dilakukan dalam banyak cara. Misalnya, saya awal-awal lagi, tidak minta agar ruang pejabat saya (Pejabat Menteri Besar) diubah suai, tidak mengganti perabot lama, dan tidak menukar alatan pejabat.

Malah saya terus mengambil bekerja majoriti petugas MB sebelum saya, walaupun ada desakan agar saya bekerja dengan kakitangan baharu.

Saya juga menggunakan kereta peribadi untuk urusan rasmi. Dan yang paling penting, saya, atau sanak saudara saya tidak menginap di Kediaman Rasmi Menteri Besar. Kediaman tersebut hanya digunakan bagi tempat menyuarat atau pertemuan lain.
Entahlah…Ada orang memberitahu saya, yang sanak saudara MB sebelum saya, juga menginap di Kediaman Rasmi…

5. Pemberian “Hadiah” dan “Hukuman” kepada Kakitangan

Ya, mungkin saya dan barisan pentadbiran dalam Kerajaan Negeri sedia memberi “hadiah” kepada mereka yang berprestasi cemerlang. Saya yakin, kakitangan kerajaan negeri, kakitangan syarikat milik kerajaan negeri, termasuk petugas parti PKR, khususnya, bersedia melaksanakan tugas masing-masing dengan tekun, jujur, amanah dan ikhlas, serta berjiwa “sedia berkhidmat kepada pelanggan/rakyat.”
Tentang “hukuman” kepada mereka yang kurang berprestasi, saya suka memberi nasihat dan motivasi terlebih dahulu, agar mereka yang berkenaan berasa dibantu dalam usaha memperlihatkan prestasi yang memuaskan.

6. Sistem Kawalan Penyalahgunaan Kuasa dan Rasuah

Saya menyeru agar semua YB Pakatan Rakyat, termasuk kalangan pemimpin komponen Pakatan Rakyat di peringkat Bahagian dan Cawangan menunjukkan sikap dan perbuatan yang adil dan jujur. Mereka tidak menyalahgunakan kuasa dan sedia membenci perbuatan rasuah, termasuk tidak mengayakan diri dan keluarga, atau rakan-rakan.
Inilah, antara kawalan dalam sistem pentadbiran kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat.
Justeru itu, sistem pengawalan daripada perbuatan salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai dan kakitangan negeri berjaya diwujudkan hanya jika semua pihak jujur dan ikhlas.
Dalam hal ini, perbuatan salah guna kuasa atau rasuah biasanya melibatkan mereka yang berkuasa dalam parti yang memerintah kerajaan negeri dengan mereka yang bertugas dalam pejabat kerajaan, pejabat syarikat milik negeri atau swasta.
Jika berlaku tolong menolong antara dua pihak ini, yang melibatkan pemberian wang, atau pemberian upah dalam bentuk lain, maka dalam konteks ini penyalahgunaan kuasa dan rasuah sudah berlaku.
Dalam siatuasi, apabila YB meminta komisen daripada orang yang ditolongnya, ini contoh rasuah. Atau YB dengan sewenang-wenang membatalkan perjanjian dengan seseorang yang tidak bersedia memberinya ‘habuan’, ini contoh penyalahgunaan kuasa.
Perbuatan terkutuk seumpama juga boleh berlaku jika ada unsur ‘potong ‘queue’” atau potong giliran dalam apa-apa urusan dengan pelanggan atau rakyat. Misalnya, orang yang datang kemudian tetapi dia kawan kita, maka dia dilayan dahulu. Sebaliknya, orang atau pelanggan yang sudah sekian lama menunggu, tetapi bukan kawan atau kenalan kita, maka dia dilayan kemudian.
Sehubungan ini, saya dan barisan eksko Pakatan Rakyat sedia berbincang bagi menggubal peraturan tertentu yang perlu dipatuhi oleh semua pihak – anggota parti atau kakitangan kerajaan negeri – tidak sewenang-wenang menyalahgunakan kuasa dan melakukan rasuah.

7. Cara Membasmi Budaya Salah Guna Kuasa dan Rasuah dalam PKR?

Persoalan ini mungkin mengesahkan yang budaya salah guna kuasa dan rasuah ‘mungkin wujud’ dalam Pakatan Rakyat, khususnya PKR.
Perlu dijelaskan, saya dan pemimpin PKR terutamanya, memang berusaha ‘menghapuskan’ budaya negatif ini, katakanlah dalam tempoh satu tahun?
Di peringkat awal ini, memang saya dapati, ada ahli atau pemimpin termasuk penyokong PKR yang datang bertemu saya atau eksko tetapi pulang dengan ‘tangan kosong’. Kami tidak menjanjikan apa-apa pemberian.
Pentadbiran Pakatan Rakyat, khususnya PKR, tidak lagi mengamalkan budaya memberi komisen atau peluang mendapat projek kepada ahli atau kroni.
Saya sendiri mmenyarankan agar setiap ahli dan penyokong PKR mesti bekerja secara ikhlas untuk parti tanpa mengharapkan upah, ganjaran atau komisen. Saya mahu budaya negatif sebagaimana amalan dalam parti di luar PKR itu, dihapuskan, dalam tempoh kurang setahun.
Memang, dahulu amalan memberi upah dan habuan diteruskan. Dalam apa-apa perlakuan di peringkat parti, PBT atau urusan dengan agensi dan jabatan kerajaan, selalunya ada sahaja ‘envelop’ yang beredar. Di dalam envelop itu tentulah wang ratusan atau ribuan ringgit!
Contohnya, amalan lepas, jika MB menandatangi surat-surat penting, maka pihak yang menghantar fail dan mengambilnya biasanya mengenakan caj tertentu, misalnya RM1000 kepada pihak yang mahu surat atau dokumennya diuruskan segera.
Habuan tersebut dibahagi-bahagilah antara pihak parti, pihak perantara, dan pihak lain yang mengenali ‘orang dalam’.

Cara lain, saya memastikan kalangan petugas di Pejabat Menteri Besar atau di pejabat-pejabat Eksko, tidak sewenang-wenang melakukan aktiviti yang ‘menjanjikan upah atau ganjaran’.
Oleh sebab itu, saya dan kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, berusaha mengingat diri agar tidak terdorong melakukan hubungan atau urusan yang mengharapkan ‘ada upah’ atau komisen.
Membelanjai tetamu atau kawan makan dan minum di kantin atau warong, yang demikian perkara biasa. Bagi saya ini bukan perbuatan rasuah. ST

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: